Masalah asma pada adik saya

Posted on November 17, 2010 by

0


Masalah asma pada adik saya

Assalamualaikum Dr. Zaki. Adik saya baru disahkan menghidap penyakit asma. Dahulu saya memandang yang penyakit asma adalah penyakit yang biasa dihadapi dalam kalangan masyarakat, dan tidak berbahaya kepada penghidap. Namun, sekitar bulan lepas, berita seorang pelajar kita di Indonesia yang meninggal dunia disebabkan asma merisaukan saya dan adik saya terhadap penyakit ini.

Apakah pandangan doktor tentang perkara ini? Dan perlukah adik saya mengambil inhaler sepanjang hidupnya?

Yang ingin tahu,
Kemaman, Terengganu.


Jawapan:

Kepada saudara /saudari dari Kemaman,

Untuk kita berbincang tentang penyakit asma ini, adalah lebih baik untuk kita memahami dengan lebih mendalam tentang penyakit ini.

Apa itu asma?

Asma adalah satu penyakit pernafasan yang biasa berlaku dalam masyarakat, di mana terdapat penyempitan sementara salur pernafasan di dalam peparu, disebabkan keadaannya yang hyper aktif (oversensitive).  Dalam penyakit asma, terdapat radangan (inflammation) dan pembengkakan pada lapisan salur pernafasan , peningkatan jumlah pengeluaran mukus, dan juga penyempitan otot pada dinding salur pernafasan, di mana kesemua ini menyebabkan kurangnya keluar masuk udara dari peparu.

Saluran pernafasan pesakit asma selalunya lebih sempit atau mempunyai banyak cecair mukus.

 

Apakah punca yang menyebabkan serangan asma?

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan asma. Antaranya adalah:

  • jangkitan kuman, terutamanya selsema dan demam
  • alergi (cth: bulu haiwan, habuk, tungau dll)
  • asap rokok (atau asap-asap toksik yang lain)
  • perubahan suhu dan cuaca yang mendadak
  • iritasi dari bahan dari tempat pekerjaan (cth: habuk kayu, bahan chemical, spray cat dll)
  • ubat-ubatan (cth: aspirin, ubat jantung dll)
  • sesetengah permakanan dan bahan pengawet makanan
  • senaman, terutamanya dalam cuaca yang sejuk
  • stres, emosi

Apakah simptom atau tanda-tanda asma?

Simptom-simptom yang paling penting adalah susah bernafas, sesak dada, bunyi ‘wheezing’ bila bernafas, dan juga batuk berterusan (terutama pada waktu malam). Peningkatan kadar penggunaan inhaler juga merupakan tanda-tanda serangan asma.

Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti kebiruan pada bibir, kegelisahan, pertukaran warna kulit pada muka, susah untuk bercakap, tiada respon kepada inhaler atau ubat-ubatan asma, dan rasa berdebar-debar, maka ini merupakan simtom serangan asma yang teruk (severe), dan memerlukan pesakit dirawat dan dimasukkan ke hospital secepat mungkin- panggilan 999 untuk ambulans adalah yang terbaik untuk situasi ini.

Berapa kerap penyakit asma berlaku dalam masyarakat?

1 dalam 4 atau 5 kanak-kanak menghidap asma, dan selalunya dalam kategori yang ringan (mild). Selalunya kanak-kanak yang menghidap asma ini adalah dalam lingkungan 2 ke 7 tahun. Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap asma tidak mendapat serangan lagi apabila telah dewasa, namun terdapat sebilangan daripada populasi yang terus menghidap asma apabila telah dewasa. Untuk orang dewasa, 1 dalam 10 orang menghidap asma.

Kenapa asma ini berbahaya?

Serangan asma yang teruk mampu merencatkan pembesaran kanak-kanak, tetapi yang paling berbahaya sekali (walaupun jarang) adalah ia boleh membawa kepada kematian , terutamanya kepada pesakit yang tidak menyedari tentang keseriusan serangan asma mereka dan tidak mendapat rawatan yang sepatutnya. Dengan rawatan yang rapi, hampir semua kanak-kanak mampu untuk hidup dan membesar secara normal.

Apakah rawatan untuk asma?

Pencegahan dari serangan asma adalah rawatan yang paling mujarab dan berkesan untuk asma, dan semua pesakit asma dan keluarga serta sahabat mereka perlu mengetahui tentang penyakit ini supaya proses pencegahan dapat diambil dengan sebaiknya.

1. Kenali asma anda

  • Buat pembacaan tentang penyakit ini
  • Mengenal pasti apa yang boleh menyebabkan asma anda
  • Arif tentang asma, serta arif tentang penggunaan inhaler dan perubatan asma anda. Antara masalah utama yang dihadapi adalah teknik penggunaan inhaler yang salah
  • Mengenal pasti simtom dan bahaya asma serta bertindak pantas ketika serangan
  • Berjumpa dengan doktor anda secara rutin
  • Belajar senaman pernafasan dengan fisioterapi anda
  • Pelan pengurusan asma yang baik, serta mempunyai pelan tindakan kecemasan apabila serangan asma berlaku
  • Selalu membawa inhaler ke mana sahaja, serta memastikan ia tidak kosong

2. Berada di tahap optimum anda

Jika anda memerlukan ubat-ubatan, inhaler merupakan  rawatan yang terbaik kerana mudah, selamat dan berkesan.  Terdapat dua jenis inhaler yang mungkin disarankan oleh doktor anda:

  1. Pencegah (preventer) inhaler seperti Becotide, Pulmicort, Flixotide, Tilade atau Intal yang digunakan bagi mencegah dan mengurangkan radangan dalam peparu
  2. Pereda (reliever) inhaler seperti Ventolin, Bricanyl, Respolin, atau Atrovent yang membantu membuka salur pernafasan anda ketika serangan asma

Maka, yang paling penting  adalah untuk mengenal asma dengan sebaik-baiknya, serta mengelak dari punca-punca yang mampu menyebabkan asma.  Gunakan inhaler secara optimum, dan berjumpa dengan doktor secara rutin bagi menilai tentang kawalan asma- adakah secara optimum ataupun tidak. Dapatkan rawatan kecemasan sekiranya asma gagal dikawal dengan ubat-ubatan.

Dr. Zaki Ibrahim

About these ads
Posted in: Soal Doktor, Terkini