Osteoartrhitis ketika usia lanjut

Posted on December 13, 2010 by

0


Osteoartrhitis ketika usia lanjut

Assalammualaikum Dr Zaki,

Baru-baru ini saya diberitahu oleh doktor tentang sakit-sakit sendi tulang saya yang telah lama saya hidapi adalah disebabkan oleh osteoartritis. Bolehkah tuan doktor menerangkan serba sedikit tentang osteoartritis?

Hj Awang Mohd Ismail
Kuala Lumpur

Waalaikumussalam buat Hj Awang,

Osteoartritis (OA) adalah kondisi yang biasa berlaku seiring dengan peningkatan umur seseorang. OA juga dikenali sebagai penyakit sendi degeneratif, di mana semakin meningkat usia, semakin banyak berlaku proses degenerasi pada sendi-sendi tulang.

Sendi dilindungi oleh tulang rawan (cartilage) yang berfungsi menghalang hujung dua tulang pada sendi daripada geseran serta melicinkan perjalanan sendi tersebut. Apabila usia meningkat, tulang rawan tersebut terhakis, menyebabkan sendi tersebut menjadi kasar dan sukar bergerak. Proses radangan (inflammation) juga mudah berlaku di sendi-sendi sebegini.

Saya yakin doktor Tuan Haji telah melakukan X-ray bagi membuat diagnosis OA, kerana OA hanya boleh didiagnosis melalui X-ray. Dalam satu kajian, X-ray mampu menunjukkan beberapa perubahan OA pada 1 ataupun lebih sendi-sendi tulang, di dalam 9 dari 10 orang dalam masyarakat yang berumur lebih dari 40 tahun.

Bagaimana OA bermula?

Sebab yang paling utama adalah disebabkan peningkatan umur, namun masih ramai yang tahu tentangnya.

Selalunya OA bermula di sendi-sendi yang pernah dahulunya cedera (seperti dalam aktiviti sukan) atau sendi-sendi yang telah melakukan terlalu banyak kerja (overworked) seperti kerja yang memerlukan repetasi dan sebagainya.

OA paling biasa berlaku di sendi yang menampung berat (weight-bearing joints) seperti tulang belakang, lutut, dan juga pinggang.  Pangkal ibu jari dan hujung jari-jari tangan juga merupakan lokasi yang selalu berlakunya OA.

Apakah simtom-simtom OA?

Simtomnya berlainan antara satu pesakit dengan yang lain, termasuklah dari bengkak, dan jari ‘mengeras’  (selalunya pada waktu pagi), serta kesakitan selepas aktiviti yang berpanjangan ataupun yang berlebihan seperti berjalanan pada durasi yang lama. Ini mungkin menyebabkan kesukaran dalam pergerakan serta menghalang  pesakit dari melakukan aktiviti hariannya.

Apakah rawatan yang ada bagi membantu pesakit?

Pada masa ini tiada rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit ini, namun terdapat pelbagai cara yang boleh diambil bagi memperbaiki mutu kehidupan pesakit.

1) Diet -kekalkan berat badan ideal, kerana berat badan yang berlebihan memberikan stres pada sendi-sendi badan. Buat masa ini tiada diet khusus yang boleh menyebabkan atau mengurangkan serta menghalang penyakit OA ini.

2) Senaman – senaman yang sihat dan tidak terlalu berat membantu dalam mengurangkan simtom, namun sekiranya senaman dilakukan secara berlebihan, ia mampu untuk menambah kesakitan atau menyebabkan OA semakin teruk. Hentikan senaman yang berlebihan

3) Haba – mandian air panas dan lain-lain boleh memberi kelegaan pada sendi-sendi OA.

4) Bantuan berjalan – kasut atau sandal yang elok, dan tongkat mampu membantu mengurangkan kesakitan pada lutut, pinggang, dan sekitar tapak kaki.

5) Ubat-ubatan  – aspirin dan paracetamol adalah 2 jenis ubat-ubatan yang mampu sedikit sebanyak mengurangkan kesakitan pada sendi OA yang tidak teruk. Ubat-ubatan ini harus dimakan bersama makanan. Sekiranya OA semakin teruk, doktor mungkin mengesyorkan untuk memberi suntikan ke dalam sendi-sendi yang terlibat dengna OA bagi mengurangkan proses radangan tersebut.

Kesimpulannya, penyakit OA adalah penyakit yang biasa berlaku dalam masyarakat seiring dengan peningkatan umur. Mengekalkan berat badan yang ideal serta melakukan senaman dengan tidak berlebihan mampu mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit OA ini.

Dr. Zaki Ibrahim

About these ads
Posted in: Soal Doktor