Berisiko untuk mengidap gaut

Posted on November 24, 2010 by

0


Berisiko untuk mengidap gaut

Assalammualaikum Dr Zaki,

Saya baru melalui pemeriksaan kesihatan tahunan pada minggu lepas. Doktor memberitahu saya yang kandungan uric acid saya tinggi, yang meningkatkan risiko saya mendapat penyakit gaut. Bolehkan Dr Zaki menerangkan serba sedikit tentang gaut?

Jawapan:

Waalaikumussalam buat saudara ……

Terima kasih atas keprihatinan saudara atas isu kesihatan saudara dengan membuat pemeriksaan kesihatan tahunan. Pemeriksaan rutin sebegini sangat baik kerana kita dapat mengambil langkah-langkah awal bagi mengelak masalah kesihatan yang lebih kronik berlaku. Mencegah lebih baik dari merawat.

Buat persoalan saudara tentang gaut, insya Allah saya akan menerangkan serba sedikit tentang gaut.

Gaut merupakan salah satu penyakit sendi yang disebabkan oleh penghasilan kristal di kawasan sekita sendi tulang. Kristal ini dihasilkan daripada uric acid yang terkumpul di sekitar sendi (sebagai contoh di sendi sekitar kaki, tangan , lutut dan lain-lain), menyebabkan kesakitan pada sendi-sendi tersebut.

Uric acid adalah bahan kumuh daripada sistem perkumuhan dalam badan, terutamanya daripada protin yang dipanggil sebagai purines.  Selalunya ia dibuang melalui buah pinggang. Apabila badan tidak mempu membuangnya dari sistem badan secara efisyen, maka jumlah uric acid yang terkumpul dalam badan akan meningkat, menyebabkan seseorang pesakit lebih mudah untuk mendapat penyakit gaut.

Apakah simtom-simtom gaut?

Simtom yang paling utama adalah kesakitan pada sendi, selalunya di tangan dan di kaki, terutamanya di sekitar ibu jari kaki. Kadang kala kawasan lain seperti siku dan lutut turut mengalami kesakitan.

Kesakitan ini selalunya menyerang tanpa diduga, selalunya pada waktu pagi. Pada masa ini, seseorang mungkin tidak mampu untuk mengangkat barang-barang walaupun ringan pada anggota badan yang terlibat. Kulit di sekitar sendi menjadi merah dan kering.  Serangan gaut ini selalunya terjadi selama 2 atau 3 hari, bergantung kepada secepat mana rawatan diambil untuk merawat gaut ini. Kadang kala, serangan gaut ini terjadi hanya sekali dalam hidup.

Siapa yang boleh mendapat gaut?

Hampir semua orang boleh mendapat gaut, kerana setiap manusia menghasilkan uric acid dalam sistem perkumuhan mereka. Namun, penyakit ini berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan genetik dan juga jantina, yang mana lelaki sekitar 30 hingga 60 lebih ramai yang mendapat penyakit ini.

Apa yang boleh menyebabkan gaut?

Gaut boleh disebabkan oleh pemakanan yang kaya dengan protin, dan juga boleh disebabkan dengan pengambilan arak. Obesiti dan tekanan darah tinggi turut menyumbang kepada punca terjadinya gaut. Beberapa ubat-ubatan (contohnya ubat kencing manis seperti diuretic), kecederaan, surgeri atau kelaparan/puasa boleh juga menyebabkan gaut.

Adakah gaut mampu dirawat?

Ya. Gaut merupakan penyakit yang mampu dirawat. Namun, sekiranya pesakit tidak menerima rawatan yang sewajarnya, gaut mampu membawa kesan negatif kepada buah pinggang, terutamanya penyakit batu karang.

Bagaimanakah rawatan penyakit gaut?

Tindakan terbaik apabila diserang penyakit gaut adalah mendapat rawatan secepat mungkin. Doktor anda boleh mengesyorkan ubat tahan sakit yang sesuai untuk anda untuk peringkat awal serangan gaut. Pesakit juga disarankan supaya rehat secukupnya. Penggunaan ‘hot pack’ atau pun ais juga mampu membantu.

Rawatan di atas sudah mencukupi sekiranya pesakit hanya mendapat serangan gaut sekali sahaja. Namun, sekiranya serangan gaut berulang, doktor akan mengesyorkan ubat yang mengurangkan uric acid serta menghalang berulangnya serangan gaut, yang mana ubat ini perlu diambil sepanjang hayat.

Apa yang perlu saya buat sekarang doktor?

Elakkan pengambilan makanan dalam tin.

Anda perlu:

1) kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan purines protein, seperti organ dalaman haiwan (hati, peparu, ginjal dll), dan juga ikan-ikan dalam tin (sardin, ikan bilis, dll).

2) jauhi arak

3) makan makanan yang seimbang dan dalam jumlah yang biasa (tidak terlalu banyak atau sedikit)

4) minum air yang mencukupi

5) menjaga berat badan supaya ideal, namun jangan kurangkan berat badan secara terlalu drastik

6) memakai kasut yang selesa

7) bersukan dan beriadah selalu

Anda perlu jauhi:

1) stres yang berlebihan dan tidak sihat

2) bersukan secara berlebihan dan berat

3) membiarkan diri anda dalam kesejukan yang melampau tanpa sebarang perlindungan

4) arak – sumber kepada pelbagai penyakit

Dr. Zaki Ibrahim

Posted in: Soal Doktor, Terkini